KOPERASI DI SARAWAK DIGALAKKAN BUKA STESEN MINYAK DI SEPANJANG PAN BORNEO

13/01/2024 07:22 PM

KUCHING, 13 Jan (Bernama) -- Koperasi di Sarawak digalakkan agar menceburi perniagaan stesen minyak di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Amran Abd Kadir berkata setakat ini, tidak banyak stesen minyak dibina di sepanjang lebuh raya baharu itu terutama di kawasan luar bandar.

Beliau berkata terdapat hampir 70 stesen minyak jenama Smart Stream milik koperasi di kawasan rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) 

"Gerakan koperasi di Sarawak harus teroka benda-benda seperti ini, ambil peluang," katanya ketika berucap merasmikan  Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP) Cawangan Kuching II di Matang Jaya, di sini hari ini.

Menurut Amran, setakat ini pihaknya menerima satu permohonan daripada koperasi di Bau untuk mendapatkan tanah bagi membina stesen minyak.

"Kita akan membawa perkara ini dalam mesyuarat bagi (koperasi itu) membina ramp sawit, R&R dan stesen minyak," katanya.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 1,177 koperasi berdaftar di Sarawak dan pembukaan Koperasi CBP Cawangan Kuching II merupakan cawangan ketiga yang dapat memperkasakan lagi ekosistem gerakan koperasi di negeri itu.

Sementara itu, Pengerusi CBP Datuk Baharom Embi berkata pihaknya juga merancang membuka satu lagi cawangan di Papar, Sabah pada suku kedua tahun ini.

"Beberapa lagi cawangan dijangka dibuka pada 2024 iaitu di Jerteh, Terengganu, Batu Pahat, Johor serta Bangi, Selangor," katanya.

-- BERNAMA