HAWANA 2024 BERI PELUANG PENGAMAL MEDIA FAHAMI PEMBANGUNAN DI SARAWAK

12/01/2024 08:13 PM

KUCHING, 12 Jan (Bernama) -- Penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang bakal berlangsung di Bumi Kenyalang pada 27 Mei ini, secara tidak langsung memberi peluang kepada pengamal media di luar Sarawak mendalami serta mempelajari pembangunan semasa negeri. 

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Abdullah Saidol berkata bagi memeriahkan sambutan berkenaan, kerajaan negeri menerusi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) merancang untuk mengadakan persidangan berkaitan industri kewartawanan, sebagai antara inti pati program HAWANA.

“Ini antara acara besar yang berlaku di Sarawak selain daripada Sukan Malaysia 2024 dan acara-acara lain, jadi kita akan lihat HAWANA ini secara serius, sebagai satu penghargaan kepada semua warga media bukan hanya di Sarawak, tetapi seluruh Malaysia untuk datang ke Sarawak.

“Kita akan mengadakan beberapa program untuk memastikan sahabat media di luar Sarawak, diberi peluang untuk merasa sendiri apa yang berlaku di Sarawak dari segi pembangunan, supaya mereka dapat mengetahui sendiri tentang inisiatif kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2024, di sini hari ini.

Abdullah berkata sebagai tuan rumah sambutan berkenaan, kerajaan negeri kini giat bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan agensi terlibat, bagi memastikan kelancaran HAWANA 2024.

Beliau berkata pihaknya turut bercadang untuk memperluaskan penglibatan pengamal media di sambutan HAWANA dan tidak hanya tertumpu kepada media arus perdana sahaja.

“Tentunya semua akan dijemput, saya rasa kita akan cuba menjemput sahabat media, persatuan media dan sebagainya, termasuklah media dalam talian, untuk sama-sama memberi input untuk pastikan HAWANA di Sarawak ini antara yang terbaik dengan HAWANA sebelum ini.

“Minggu hadapan kita akan bermesyuarat di Kuala Lumpur untuk berjumpa menteri (Fahmi Fadzil) dan mereka yang berkenaan di Kuala Lumpur, untuk menghalusi perancangan penganjuran HAWANA ini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata HAWANA 2024 akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan terus memainkan peranan sebagai urusetia bagi penganjuran sambutan berkenaan.

-- BERNAMA