HUJAN BERTERUSAN DI TIMUR SABAH, SARAWAK KHAMIS DAN JUMAAT INI - MET MALAYSIA

09/01/2024 03:59 PM

KUCHING, 9 Jan (Bernama) -- Hujan berterusan dijangka berlaku di kawasan timur Sabah dan Sarawak pada Khamis dan Jumaat ini berikutan peningkatan kelembapan yang dibawa angin timuran ke kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata berdasarkan analisis model-model cuaca, keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan terbabit.

"MET Malaysia juga telah mengemas kini Amaran Hujan Berterusan di Sarawak pada hari yang sama," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook MET Malaysia di sini, hari ini.

Muhammad menasihatkan orang  awam agar sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

-- BERNAMA