MESYUARAT DENGAN MENTERI KESIHATAN MINGGU DEPAN BINCANG PERMINTAAN AUTONOMI KESIHATAN SARAWAK

Sarawak Deputy Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
07/01/2024 09:05 PM

KUCHING, 7 Jan (Bernama) -- Satu mesyuarat antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak akan diadakan minggu depan bagi membincangkan dengan lanjut permintaan negeri itu untuk mendapatkan autonomi dalam bidang kesihatan.

Timbalan Premier Sarawak dan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata proses perbincangan adalah agak kompleks kerana ia perlu menerusi beberapa peringkat sebelum hasilnya dapat dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Ia juga melibatkan 43 undang-undang dan saya telah menyatakan dalam sepucuk surat kepada Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Dzukefly Ahmad) berkata selepas 60 tahun (pembentukan Malaysia) berlalu, sistem penjagaan kesihatan sedia ada tidak lagi begitu efektif,” katanya.

Dr Sim berkata demikian kepada wartawan selepas majlis pelancaran sebuah buku di ibu pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini, hari ini.

Menurut beliau, Sarawak mahukan autonomi dalam sektor kesihatan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan di negeri ini mencapai tahap terbaik. 

Sim berkata Sarawak memerlukan lebih banyak kemudahan kesihatan, seperti pusat rawatan jantung di Sibu dan Miri berikutan saiz negeri ini yang besar dan perjalanan yang memakan masa.

-- BERNAMA