PENJAWAT AWAM PERSEKUTUAN DAN NEGERI MAIN PERANAN SEBAR LUAS MANFAAT PADU

06/01/2024 11:32 AM

KUCHING, 6 Jan (Bernama) -- Penjawat awam, sama ada di peringkat Persekutuan dan Negeri perlu memainkan peranan dalam menyebarluaskan pengetahuan serta kepentingan mendaftar dengan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kepada orang ramai dari semasa ke semasa. 

Seorang petugas agensi perkhidmatan awam di Sarawak Alaster Alim, 29, berkata dapatan daripada sistem berkenaan memberi ‘laluan’ yang lebih mudah untuk Kerajaan Pusat serta negeri menggembleng tenaga dalam merangka dasar atau program dalam memperkukuh sosioekonomi rakyat.

“Maklumat daripada PADU ini adalah berpusat jadi ia membolehkan agensi berkaitan mengetahui perkembangan terkini khususnya dari sudut ekonomi rakyat yang kurang berkemampuan serta perlu diberikan bantuan selayaknya.

“Bagi agensi atau jabatan negeri, kami sentiasa memerlukan data terkini dan sebelum ini, ketua komuniti perlu menyediakan maklumat terbaharu ketua isi rumah di setiap kampung supaya kami tahu sama ada sesebuah keluarga itu masih di takuk lama atau sudah mempunyai pendapatan yang cukup untuk sekeluarga,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata perancangan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk membuka kaunter di pejabat daerah bagi memastikan orang awam dapat berurusan secara terus berkaitan pendaftaran sistem berkenaan merupakan langkah yang tepat khususnya dalam meyakinkan penduduk yang mendiami kawasan luar bandar Sarawak. 

Dalam pada itu, penjawat awam Jenny Sijau, 54, berpendapat sistem aplikasi PADU adalah lancar serta mudah difahami dan butiran peribadi yang perlu diisi dalam sistem itu relevan bagi kerajaan menambah baik pemberian subsidi. 

“PADU dibangunkan oleh penjawat awam sendiri dan secara dalaman, secara teliti…bukan orang luar yang bina sistem ini jadi tiada sebab untuk rakyat was-was untuk kebocoran data,” katanya. 

Setakat 4 petang semalam, sejumlah 516,168 pengguna berdaftar dengan PADU dan daripada jumlah itu, Sarawak mencatatkan seramai 40,519 pengguna. 

Pendaftaran PADU dibuka kepada orang ramai bermula 2 Jan lepas hingga 31 Mac ini dan pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan 30 butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.

Sistem berkenaan dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, DOSM dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri.

-- BERNAMA