SARAWAK SENTIASA TERBUKA UNTUK TEKNOLOGI BAHARU DALAM MEMBANGUNKAN INFRASTRUKTUR - UGGAH

Datuk Amar Douglas Uggah Embas
03/01/2024 05:09 PM

KUCHING, 3 Jan (Bernama) -- Sarawak sentiasa berusaha mencari teknologi dan sistem baharu dalam membangunkan infrastrukturnya dengan lebih baik, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata ia bersedia untuk belajar daripada negeri lain, umpamanya Johor, yang telah mencapai kemajuan yang amat memberangsangkan dalam pembangunan infrastrukturnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan bagi mengalu-alukan kehadiran delegasi dari Johor yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Delegasi itu berada di sini untuk mempelajari pengalaman Sarawak khususnya berkaitan dengan pembangunan Lebuhraya Pan Borneo yang 98 peratus siap setakat bulan lepas.

“Johor telah mencapai pencapaian yang ketara dalam pembangunan infrastrukturnya. Oleh itu adalah wajar kita juga belajar dari Johor berkenaan teknologi dan kaedah yang digunakan. Kita sentiasa boleh belajar antara satu sama lain menerusi pengalaman masing-masing," katanya.

Mengulas mengenai Lebuhraya Pan Borneo, Uggah berkata sebagaimana banyak projek besar lain, pembinaannya turut terjejas disebabkan pandemik COVID-19.

“Bagaimanapun di sebalik banyak cabaran, penyertaan kontraktor yang baik dengan sumber kewangan yang sangat kukuh akhirnya telah membantu pelaksanaannya. Jadi ini adalah elemen paling kritikal dalam memastikan proses pembinaannya lancar," tambahnya.

-- BERNAMA