BENDERA SARAWAK KINI DIKENALI SEBAGAI IBU PERTIWI - ABANG JOHARI 

01/01/2024 09:35 AM

KUCHING, 31 Dis (Bernama) -- Bendera negeri Sarawak kini dikenali sebagai ‘Ibu Pertiwi’, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari mengumumkan perkara itu semasa berucap pada majlis sambutan ambang tahun baharu peringkat negeri yang diadakan di Tebingan Kuching di sini, malam ini.

Menurut Abang Johari sebelum ini bendera Sarawak tidak mempunyai sebarang nama tersendiri seperti bendera Malaysia yang digelar Jalur Gemilang.

“Ibu Pertiwi membawa maksud kedaulatan kepada Sarawak, ia juga menunjukkan kehebatan negeri Sarawak dengan warna (bendera) merah, hitam dan kuning.

“Semua anak Sarawak hendaklah tekad bekerja kuat mempertahankan Ibu Pertiwi dan sama-sama membangun negeri ini agar lebih maju,” katanya.

Antara pengisian sambutan ambang tahun baharu bertemakan ‘Let’s Celebrate Together’ itu ialah persembahan pentas, pertunjukan bunga api serta acara kiraan detik tahun baharu.

Sambutan dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti Datuk Amy Search dan Datuk Zainal Abidin selain perasmian tiang bendera Sarawak.

-- BERNAMA