PERSIAPAN AKHIR KRISMAS, PUSAT BELI-BELAH, PASAR RAYA JADI TUMPUAN

24/12/2023 08:43 PM

Oleh Muhammad Ammar Shafiq Hamzah

KUCHING, 24 Dis (Bernama) -- Pusat beli-belah serta pasar raya di bandar raya ini menjadi tumpuan penganut agama Kristian untuk membeli barangan keperluan mereka sebelum meraikan Hari Krismas esok.

Tinjauan Bernama di sekitar bandar raya Kuching mendapati orang ramai masih sibuk membeli barangan keperluan asas seperti makanan, barangan perhiasan rumah dan tidak lupa juga untuk membeli hadiah buat sahabat serta keluarga mereka sempena perayaan itu.

Selain itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching juga sesak sejak beberapa hari kebelakangan ini apabila anak-anak Sarawak di perantauan pulang ke kampung halaman bagi menyambut perayaan tersebut.

Penjawat awam, Grace John Lee, 31, berkata beliau masih boleh mendapatkan barangan keperluan asas seperti ayam untuk digunakan esok walaupun membeli pada saat akhir.

“Saya masih boleh mendapatkan barangan yang bagus. Pembelian di saat akhir juga kadang-kadang menguntungkan apabila ada kedai yang memberikan potongan harga,” katanya ketika ditemui Bernama.

Di sebalik kemeriahan sambutan Krismas esok, rakyat Sarawak diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah pencegahan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam perutusan sempena sambutan Hari Krismasnya berkata bulan ini menyaksikan peningkatan semula kes COVID-19 di Sarawak.

Beliau berkata sebanyak 631 kes COVID-19 dilaporkan di negeri ini pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-50 dari 10 hingga 16 Dis, berbanding 310 kes pada ME-49.

-- BERNAMA