KPDN SARAWAK PERIKSA 81,528 PREMIS
KUCHING, 23 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak berjaya menjalankan pemeriksaan ke atas 81,528 premis sejak 1 Jan hingga semalam.
KPDN Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 1,117 kes telah dikesan atas pelbagai kesalahan, dengan nilai sitaan berjumlah RM12,318,364.09.
"Mana-mana pelanggaran oleh peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan dikenakan penalti,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, KPDN Sarawak memaklumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023 berkuat kuasa mulai hari ini hingga 27 Dis bagi peringkat negeri itu.
Menurut kenyataan itu, 14 jenis barangan harga terkawal antaranya lobak merah, cili merah dan tomato diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Krismas 2023.
“KPDN Sarawak telah mengerakkan 189 pegawai penguat kuasa dan 97 pegawai pemantau harga di lokasi strategik seluruh negeri ini bagi memantau keberadaan bekalan dan pematuhan serta pemeriksaan di pasar awam, pasar basah dan pasar raya.
“Pemantauan dijalankan bagi mengesan ketidakpatuhan atau menyiasat aduan pengguna supaya tindakan boleh diambil mengikut perundangan ditetapkan,” menurutnya.
-- BERNAMA
