LEBIH 50 WARGA EMAS KELABIT, PENAN TERIMA MANFAAT PROGRAM JANGKAUAN ORTOPEDIK

Credit: YKOA
23/12/2023 12:08 PM

TANAH TINGGI BARIO, (Sarawak), 23 Dis (Bernama) -- Lebih daripada 50 warga emas Kelabit dan Penan telah menerima rawatan ortopedik khusus dalam program jangkauan yang unik, satu langkah penting ke arah meningkatkan kesejahteraan mereka.

Yayasan Kesenian Orang Asli (YKOA) telah mengendalikan kem ortopedik sehari pada 9 Dis, setelah kejayaan kem pediatriknya pada Oktober lepas dengan 31 kanak-kanak daripada komuniti peribumi menerima rawatan pediatrik.

YKOA dalam satu kenyataan memaklumkan kem kesihatan yang dianjurkan menerusi Program Jangkauan Kesihatan Melampaui Sempadan telah berlangsung di kampung terpencil di kawasan pergunungan Bario, yang hanya boleh diakses dengan perjalanan 12 jam dari Miri atau dengan pesawat Twin Otter.

Pakar ortopedik Dr Thiru Kumaran dan Dr Peter Choo telah mengkaji dan merawat pesakit warga emas dengan teliti.

Rawatan bagi tendinitis, ketegangan otot, seliuh dan kekakuan telah mencapai objektif program berkenaan dan mengurangkan rasa takut dalam kalangan warga emas untuk ke hospital, seperti yang ditekankan oleh Dr Chan, Pegawai Perubatan yang bertanggungjawab di daerah Bario.

Selain itu, selepas perbincangan pascaprogram dengan Dr Thiru Kumaran, yang juga Ketua Perkhidmatan Ortopedik Hospital Miri, lebih daripada 25 pesakit dengan masalah ortopedik telah mendapat nasihat serta rujukan untuk rawatan seterusnya, menurut kenyataan itu.

Pengerusi YKOA Dr Andre Ratos dalam menyuarakan kepuasannya terhadap hasil program itu, menekankan kepentingan saringan pencegahan untuk meningkatkan kualiti hidup warga tua.

Mengenai cabaran seperti akses yang terhad kepada pakar, beban kos perjalanan dan keengganan untuk mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan, Dr Andre menggariskan tujuan program adalah untuk membina hubungan, merawat, mendidik serta menggalakkan individu peribumi untuk mendapatkan penjagaan susulan atau pembedahan di hospital daerah.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penaja termasuk BCM Alliance dan Suruhanjaya Tinggi Australia kerana membiayai program itu.

Menurut YKOA, pengerusi program itu Datin Pearl Masna menyampaikan sumbangan peralatan fisioterapi oleh Innerwheel KLCC kepada warga emas terlibat manakala Penghulu Kampung Bario, Caleena Sakai berterima kasih bagi pihak komuniti Kelabit serta membantu dalam menterjemahkan mesej ke dalam bahasa Kelabit untuk warga emas.

Ditubuhkan pada 2002, YKOA telah diilhamkan oleh Datuk Antony Ratos untuk meningkatkan kehidupan peribumi dan pemeliharaan budaya mereka. YKOA bertujuan untuk memberikan impak yang bermakna dan berkekalan bagi komuniti peribumi.

Program Jangkauan Kesihatan Melampaui Sempadan adalah siri kem perubatan yang bertujuan memberi impak kepada kesihatan peribumi di seluruh Malaysia, menyasarkan kampung-kampung terpencil yang menghadapi cabaran dalam mengakses penjagaan kesihatan dengan membantu dalam penyampaian aktiviti penjagaan kesihatan.

-- BERNAMA