MONSUN TIMUR LAUT: 1,335 ASET POLIS SARAWAK SEDIA DIGERAK

14/12/2023 04:34 PM

KUCHING, 14 Dis (Bernama) -- Sejumlah 1,335 aset Polis Sarawak terdiri daripada aset darat, laut serta udara bersedia untuk digerakkan dalam menghadapi Monsun Timur Laut di negeri itu, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata.

Selain itu, katanya seramai 1,262 orang pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan serta daerah bersiap siaga pada bila-bila masa jika khidmat mereka diperlukan.

“Kita juga nasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan terdedah dengan risiko banjir agar bersiap sedia termasuk menyimpan dokumen penting mereka.

“Penduduk juga perlu sentiasa peka dengan amaran awal banjir dan berpindah dengan kadar segera sekiranya mendapat arahan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

-- BERNAMA