SARAWAK LULUS PERUNTUKAN RM90.5 JUTA BINA JALAN DI DAERAH DALAT

10/12/2023 05:33 PM

KUCHING, 10 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM90.5 juta untuk projek pembinaan Jalan Medong,  Lebrasau-Klid di daerah Dalat yang terletak di bahagian tengah negeri itu.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata projek rakyat itu, yang bermula dari Kampung Medong Seberang sehingga ke Kampung Kekan Seberang, mampu memberikan kesenangan kepada rakyat di kemudian hari.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited untuk membangunkan kawasan luar bandar kerana itu adalah objektif utama GPS.

“Kita bertuah mempunyai pemimpin (Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg) yang sentiasa membela nasib rakyat mengikut janji GPS. Banyak lagi pembangunan akan dilaksana, ini bukan retorik tetapi berdasarkan polisi yang telah ditetapkan,” katanya ketika berucap pada Penutupan Pesta Besaug Dalat serta Perasmian Tebingan Sungai Dalat hari ini.

Terdahulu, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, mengumumkan bahawa peruntukan sebanyak RM4.96 juta telah diluluskan untuk pembinaan Tebingan Sungai Dalat Fasa Tiga.

Beliau berkata ketika ini, projek pembinaan tebingan sungai itu masih dalam proses reka bentuk dan akan ditender pada suku pertama 2024.

-- BERNAMA