CO-OPBANK PERTAMA BUKA EMPAT LAGI CAWANGAN SUKU PERTAMA 2024

Datuk Baharom Embi
02/12/2023 12:40 PM

MIRI, 2 Dis (Bernama) -- Co-opbank Pertama (CBP) akan membuka empat lagi cawangan pada suku pertama tahun depan.

Cawangan-cawangan itu adalah di Matang Jaya, Kuching, Sarawak; Sandakan dan Papar di Sabah dan di Jerteh, Terengganu.

Pengerusi CBP Datuk Baharom Embi berkata ini adalah untuk mengembangkan perniagaan bank berkenaan yang kini dalam perancangan untuk mempunyai sekurang-kurangnya 36 buah cawangan di seluruh negara menjelang tahun 2026.

“Pembukaan cawangan ini adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat selain seiring dengan Pelan Strategik CBP 2022-2026 yang telah dilancarkan pada 31 Mei 2022 untuk mengembangkan lagi perniagaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini bersempena perasmian cawangan CBP Miri, cawangan kedua di Sarawak selepas Kuching dan yang ke-31 di Malaysia.

Perasmian Cawangan Miri itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar semalam.

Menurut Baharom,  dengan pertambahan cawangan CBP, penduduk setempat di Sabah dan Sarawak diharap dapat memberi sokongan sepenuhnya kepada produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

CBP ditubuhkan pada 7 Jun 1950 dan diiktiraf SKM dan Bank Negara Malaysia sebagai sebuah bank pada Sept 2014 menawarkan pelbagai produk pembiayaan individu, koperasi serta korporat, Ar-Rahnu, deposit, syer keanggotaan serta takaful dan wasiat.

-- BERNAMA