GPS, ABANG JOHARI MAIN PERANAN PENTING PASTIKAN KESTABILAN KERAJAAN PERPADUAN - ANWAR

29/11/2023 12:45 AM

KUCHING, 28 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan sambutan ulang tahun pertama beliau menerajui Kerajaan Perpaduan dengan merakamkan ucapan terima kasih kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana menyokong beliau bagi memastikan kestabilan politik negara.

Bercakap pada majlis makan malam gala Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) di sini malam ini, Anwar berkata sokongan itu membolehkan beliau mengemudi Malaysia ke arah memperkasa ekonomi dan melakar kemajuan masa depan negara.

"Saya hanya ingin menyatakan yang saya tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa Premier Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari dan GPS telah memainkan peranan penting dalam hal ini," katanya.

Anwar berkata bulan-bulan pertama pembentukan Kerajaan Perpaduan telah menyaksikan mereka terpaksa berdepan beberapa "pergolakan kecil" namun beliau bersyukur kerana kerajaan itu menjadi lebih stabil selepas setahun.

"Kita (kini) boleh bercakap mengenai peralihan tenaga, transformasi digital dan kerancakan ekonomi kerana kita sudah stabil dari segi politik... kita memiliki majoriti lebih dua pertiga di Parlimen," katanya.

Pada majlis itu yang turut dihadiri Naib Presiden Indonesia Dr Ma’ruf Amin, Anwar berkata Malaysia bertuah kerana mempunyai republik berkenaan yang majoriti penduduknya beragama Islam sebagai jiran yang memilih untuk bekerjasama serta saling melengkapi dan bukannya bersaing secara agresif antara satu sama lain.

Beliau berkata proses kerjasama sedemikian perlu disegerakan bagi memastikan negara Islam maju dan merapatkan jurang pembangunan dengan negara lain yang sudah maju lebih awal.

"Saya ingin mempercepat proses itu jika kita ingin mendapat manfaat dan tidak mahu ketinggalan," katanya.

Anwar berkata keazaman Malaysia untuk terus menerajui pasaran halal antarabangsa dengan menyasarkan nilai eksport sebanyak RM63 bilion menjelang 2025 telah dibayangkan ketika beliau membentangkan kajian pertengahan penggal Rancangan Malaysia ke-12 pada September lepas.

Beliau berkata negara Islam boleh menjalin kerjasama bagi meneroka potensi besar pasaran halal yang turut diakui oleh negara minoriti Islam yang dilawatinya sama ada di Asia atau luar.

Abang Johari, dalam ucapannya, pula berkata Sarawak ingin menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global ekonomi Islam.

Beliau berkata Sarawak bukan hanya berhasrat untuk menyediakan produk dan perkhidmatan halal malah penyelesaian bagi menangani cabaran global seperti perubahan iklim serta keterjaminan makanan.

 "Kami juga sedang membangunkan ekosistem sendiri bagi mentransformasi ekonomi Sarawak yang menawarkan pelaburan dan peluang perniagaan yang luas kepada dunia.

"Fokus kami adalah untuk mengalih aktiviti ekonomi ke arah model yang lebih sirkular dan melalui peralihan tenaga," katanya.

Menurut beliau, Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 pada Oktober lepas telah dilancarkan sebagai hala tuju yang mendasari komitmen negeri itu untuk memanfaatkan teknologi digital bagi pembangunan mampan.

"Dunia Islam tidak mempunyai pilihan selain mengguna pakai teknologi dalam mengejar kemajuan, justeru itu, saya menggesa pemimpin dunia Islam untuk meneroka penggunaan teknologi dan menjadi pemain yang mampan," katanya.

-- BERNAMA