KEDIAMAN, INFRASTRUKTUR LEBIH BAIK UNTUK TIGA PERKAMPUNGAN MELAYU DI SIBU

Dr Annuar Rapaee fb
26/11/2023 09:15 PM

SIBU, 26 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sarawak akan membantu 179 pemilik rumah asal di tiga perkampungan Melayu berdekatan pusat bandar ini untuk membina semula kediaman mereka di atas lot yang sama dengan menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih baik.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka berkata ia melibatkan pemilik rumah asal di Kampung Datuk Lama, Kampung Baharu dan Kampung Hilir.  

Berucap pada Majlis Apresiasi 2023 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Nangka di sini hari ini, beliau berkata sebahagian tanah pemilik rumah asal berkenaan juga akan digunakan bagi membangunkan infrastruktur itu.

“Kerajaan buat infrastruktur bagus-bagus, rumah bagus-bagus dan kemudian diberikan kembali kepada pemilik,” katanya.

Dr Annuar berkata usaha itu sekali gus menolak dakwaan segelintir pihak tidak bertanggungjawab bahawa kerajaan Sarawak akan merampas tanah di perkampungan itu bagi tujuan pembangunan.

-- BERNAMA