SARAWAK PERUNTUK RM71 JUTA BINA TEGAS DIGITAL CO-LIVING NOMAD LODGE

Tan Sri Abang Johari Tun Openg
25/11/2023 04:28 PM

KUCHING, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM71 juta untuk pembinaan bangunan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Digital Co-Living Nomad Lodge.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bangunan itu akan dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan untuk kegunaan para penyelidik dan pelajar yang menjalankan kajian di TEGAS Digital Village di sini.

“Kita membina kemudahan ini untuk penyelidik dan pelajar yang menjalankan kerja-kerja penyelidikan di TEGAS Digital Village memandangkan ada ketikanya mereka perlu tinggal untuk mendapatkan inspirasi.

“Kita bangunkan Core Living Nomad Lodge ini bersebelah dengan Digital Village bagi memudahkan mereka (penyelidik dan pelajar) berehat,” katanya selepas merasmikan Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (S-CaT Fair) 2023 di Wisma Sabati di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata secara ringkasnya TEGAS Digital Co-Living Nomad itu akan menjadi pangkalan ideal untuk para nomad digital beroperasi, bekerja dan menjalinkan kerjasama.

“TEGAS Digital Co-Living Nomad Lodge yang kini telah mula pembinaannya di Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Samajaya akan siap dalam tempoh 36 bulan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata penganjuran S-CaT Fair adalah sebagai platform yang menyediakan maklumat mengenai peluang pendidikan dan kerjaya untuk para pelajar, belia, ibu bapa dan komuniti.

Beliau berkata penganjuran karnival itu juga bertujuan menyalurkan maklumat mengenai agensi yang menyediakan bantuan kewangan pendidikan, meningkatkan kebolehpasaran graduan, memperkasakan belia dalam membuat keputusan yang tepat untuk masa depan serta memupuk minat pelajar terhadap pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik,

-- BERNAMA