KPWKM BERHASRAT WAJIBKAN KURSUS ASAS KANAK-KANAK OKU KEPADA TASKA - NANCY

18/11/2023 03:21 PM

SANTUBONG, 18 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berhasrat mewajibkan Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak Kurang Upaya kepada pihak yang mengendalikan taska atau pusat jagaan melibatkan kanak-kanak berkeperluan khas. 

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata bagi tujuan itu, Seminar Pendidikan Khas Kebangsaan 2023 akan diperluaskan ke seluruh negara dalam memastikan penglibatan kesemua pengusaha taska berkenaan serta mempersiapkan mereka bagi mengendalikan golongan tersebut.  

“Kita nak supaya jangan ada yang ketinggalan sebab kalau dilihat kes dera yang dilaporkan kita kenal pasti ada pengasuh yang tidak ada latihan (mengendali kanak-kanak kurang upaya),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan seminar itu di sini, hari ini. 

Beliau berkata program sedemikian digerakkan persatuan serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kanak-kanak kurang upaya dengan peruntukan disalurkan oleh KPWKM.

Dalam pada itu, Nancy berkata daripada 107,020 kanak-kanak berkeperluan khas di bawah Kementerian Pendidikan setakat 31 Jan lepas, hanya 7,582 daripada mereka berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, sekali gus menyukarkan KPWKM mengambil langkah awal sebelum kanak-kanak terbabit melangkah ke alam persekolahan. 

“Saya sarankan yang tidak berdaftar untuk berdaftar supaya kami dapat mengumpul data dan membantu mengambil tindakan selanjutnya di peringkat kementerian. Perkara ini (ibu bapa tak daftar) berlaku mungkin kerana kurang promosi dan mungkin ibu bapa fikir tidak perlu elaun, kerana mendaftar dengan kami bukan bermakna beri duit sahaja,” katanya. 

Beliau turut mengakui tahap kesedaran orang ramai mengenai kanak-kanak kurang upaya masih rendah, justeru, kementerian akan bekerjasama dengan NGO berkaitan bagi menggerakkan lebih banyak program kesedaran.

Nancy berkata setakat ini, JKM telah menubuhkan 11 taska kanak-kanak kurang upaya dan merancang membina lebih banyak institusi sedemikian tahun hadapan. 

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan Malaysia (NAECCEM) Shamsinah Che Shariff dalam ucapannya berkata pihaknya akan terus berganding bahu dengan kerajaan, pemain industri serta komuniti bagi mengatasi isu dan cabaran pelaksanaan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

“Saya berharap seminar ini menjadi platform pertemuan pelbagai pihak dan pakar bidang untuk berkongsi maklumat, ilmu serta pengalaman masing-masing demi kelestarian pendidikan awal kanak-kanak yang diimpikan semua,” katanya. 

-- BERNAMA