POLIS SARAWAK SIAP SIAGA HADAPI MONSUN TIMUR LAUT

Sarawak Police Commissioner, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.
09/11/2023 02:09 PM

KUCHING, 9 Nov (Bernama) -- Sebanyak 1,262 pegawai dan anggota polis Sarawak bersiap siaga  menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan ini hingga Mac tahun hadapan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata selain itu, pelbagai aset juga telah disediakan yang boleh digerakkan pada bila-bila masa.

“Sejumlah 1,069 aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terdiri daripada aset darat, laut, udara dan sokongan akan digunakan dalam pengoperasian bersama agensi penyelamat yang lain.

“Jumlah aset darat sebanyak 317 buah termasuk sebuah ambulans, kenderaan pacuan empat roda (109), van (35), kereta (119), lori (52) dan sebuah bas, manakala 647 buah melibatkan aset laut antaranya bot sebanyak 59, enjin bot (72), jet ski (3) dan 504 unit jaket keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Astaka dan Dewan Terbuka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Mohd Azman berkata dari segi aset udara pula, sebanyak tiga pesawat berserta lapan unit dron akan digunakan, manakala 94 aset sokongan seperti set jana kuasa dan khemah juga turut tersedia.

Dalam perkembangan lain, Mohd Azman berkata jenayah indeks kontinjen Sarawak pada Januari hingga Oktober tahun ini menunjukkan penurunan kepada 3,281 kes berbanding 3,312 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

“Keadaan jenayah di Sarawak pada umumnya masih berada pada tahap yang rendah dan terkawal, perbandingan ini menunjukkan penurunan sebanyak 31 kes,” katanya.

-- BERNAMA