KPKT LULUS RM13.2 JUTA BINA BALAI DAN KUARTERS BOMBA SARAWAK

06/11/2023 03:08 PM

ASAJAYA (Sarawak), 6 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan RM13.2 juta untuk projek pembinaan balai dan kuarters Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Sarawak.

Menterinya Nga Kor Ming berkata projek itu melibatkan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Asap, pembinaan kuarters BBP Tatau dan pembinaan kuarters BBP Daro.

“Difahamkan ketiga-tiga projek pembinaan ini akan siap sepenuhnya menjelang awal tahun 2025 atau 18 bulan daripada tarikh mula dibina,” katanya selepas merasmikan BBP Asajaya di sini, hari ini.

Berucap pada majlis itu, Nga berkata pembinaan BBP Asajaya yang bernilai RM9.1 juta itu Mac lepas, menjadikan jumlah keseluruhan BBP di negeri ini sebanyak 38 buah.

“Saya dimaklumkan sebarang insiden di kawasan ini dihadiri balai bomba dan penyelamat berhampiran seperti Simunjan, Kota Samarahan dan Tabuan Jaya yang terletak dalam jarak purata melebihi 30 kilometer dan mengambil masa perjalanan hampir 30 minit untuk ke Asajaya.

“Kini dengan adanya balai bomba Asajaya, sudah pasti masa bertindak akan menjadi lebih singkat dan pasukan dapat sampai lebih cepat di lokasi kejadian bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda penduduk di kawasan ini,” katanya.

Nga berkata 38 balai bomba secara realitinya tidak mencukupi untuk menampung keperluan seluruh Sarawak yang berkeluasan 124,450 kilometer persegi iaitu hampir sama dengan keluasan Semenanjung.

“Namun KPKT amat positif, pada masa akan datang dengan pertambahan bilangan balai-balai baharu yang akan dibina dan beroperasi, masa tindak balas jabatan bomba akan dapat dicapai dengan lebih baik,” katanya.

-- BERNAMA