PRK JEPAK: GPS MAMPU TINGKAT MAJORITI 

30/10/2023 04:39 PM

Oleh Muhammad Ammar Shafiq Hamzah

BINTULU, 30 Okt (Bernama) -- Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu meningkatkan jumlah majoriti kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sabtu ini berbanding majoriti 4,243 undi pada Plihan Raya Negeri (PRN) 2021.

Pensyarah Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Dr Abdul Hadi Samsi berkata ini disebabkan beberapa faktor termasuk sokongan daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada PRK ini.

“Sebelum ini kita lihat pesaing terkuat GPS di kawasan DUN Jepak ini ialah PSB. Pada PRN 2021 lepas, PSB telah mendapat 2,034 undi.

“Jika jumlah undi (PSB) ini beralih kepada GPS, saya yakin ia mampu diterjemahkan dalam jumlah majoriti yang lebih besar buat GPS,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hadi berkata faktor lain ialah GPS merupakan satu gabungan yang dominan dalam arena politik Sarawak dan sukar bagi parti lawan lain untuk memecahkan monopoli mereka. 

“Pola sokongan pengundi di Sarawak juga berbeza jika dibandingkan dengan pengundi di Semenanjung yang lebih dinamik dan boleh berubah sokongan serta ramai pengundi yang di atas pagar…tetapi di Sarawak kita lihat rakyat lebih selesa dan boleh menerima agenda-agenda dibawa GPS,” katanya.

PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon GPS Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan Datuk Talib Zulpilip pada 15 Sept lepas.

DUN Jepak mempunyai 22,804 pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis. Tiada pusat mengundi awal akan dibuka esok selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengeluarkan 73 kertas undi pos kepada pemilih berdaftar yang layak termasuk anggota polis.

-- BERNAMA