IR 4.0 BENTUK LANDSKAP INDUSTRI SARAWAK - ROLAND SAGAH

24/10/2023 02:53 PM

KUCHING, 24 Okt (Bernama) -- Revolusi Industri (IR 4.0) merupakan daya transformasi yang membentuk masa depan landskap industri Sarawak, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Dato Seri Roland Sagah Wee Inn.

Beliau berkata adalah penting bagi rakyat negeri itu menerima pakai inovasi dan menyesuaikan strategi industrinya untuk memanfaatkan potensi era ini.

“IR 4.0 menawarkan kita peluang yang luar biasa untuk menyelaraskan operasi, meningkatkan produktiviti dan mewujudkan industri yang lebih mampan dan cekap.

"Analisis data automasi, kecerdasan buatan (AI) dan Internet benda (IoT) bukan lagi konsep futuristik tetapi alat praktikal yang boleh memacu pertumbuhan dan daya saing," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sesi Rangkaian Sinergi: Penglibatan Industri-Institusi 2023 di sini hari ini.

Selaras IR 4.0 itu, Roland berkata adalah penting untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula tenaga kerja.

"Melabur dalam program pendidikan dan latihan adalah asas untuk memastikan pekerja anda dilengkapi untuk berkembang maju dalam landskap teknologi maju ini.

"Kerjasama antara industri, akademik dan badan kerajaan akan menjadi kunci untuk memupuk ekosistem inovasi dan pemindahan pengetahuan,” katanya.

Beliau berkata sesi libat urus industri-institusi itu akan memberikan pandangan baharu kepada semua peserta dan perbincangan itu akan mencerahkan laluan ke arah inovasi dan kerjasama.

Seramai 120 peserta daripada pelbagai agensi dan sektor swasta mengambil bahagian dalam sesi jaringan itu, anjuran bersama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak dan Sarawak Skills.

-- BERNAMA