SPRM LANCAR BILIK GERAKAN PRK DUN JEPAK

21/10/2023 04:28 PM

BINTULU, 21 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan bilik gerakan di SPRM Cawangan Bintulu, Sarawak itu akan beroperasi 24 jam mulai hari ini hingga 4 Nov depan,

“Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui e-mel prk2023_bintulu@sprm.gov.my atau menghubungi talian 086-316200,” menurut kenyataan itu.

SPRM turut mengingatkan semua calon dan parti politik bertanding agar tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

PRK Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip, 72, dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada 15 Sept lepas. 

-- BERNAMA