MAHASISWA DIGALAK SERTAI NASA SPACE APPS SARAWAK 2024 - SAGAH

Minister for Education, Innovation and Talent Development Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee In Pix credit: UKAS
21/10/2023 12:59 AM

KUCHING, 20 Okt (Bernama) --  Penuntut universiti tempatan digalak merebut peluang menyertai 'NASA Space Apps Sarawak’ yang akan dianjurkan pada tahun hadapan, menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.

Beliau berkata acara berkenaan yang memasuki edisi ketiga penganjurannya tahun ini mampu memupuk rakyat negeri ini terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) sekali gus memberikan inspirasi dalam kalangan pelajar untuk menceburi bidang tersebut.

"Saya harap lebih banyak penyertaan dalam kalangan pelajar senior pada tahun hadapan terutama daripada institusi pengajian tinggi kita (Sarawak) seperti Curtin University, Swinburne University of Technology, Universiti Teknologi Sarawak dan International College of Advanced Technology Sarawak,” katanya berucap pada majlis penutup NASA Space Apps Sarawak 2023 di sini hari ini.

Sagah berkata acara itu mampu memberi manfaat kepada pelajar sekolah menengah dan penuntut universiti dari segi masa depan mereka termasuk permohonan biasiswa dan peluang pekerjaan.

“Acara ini satu daripada inisiatif kementerian (Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak) dalam menunjukkan komitmen bagi mengembangkan bakat muda terhadap STEM di negeri ini,” katanya.

NASA Space Apps Sarawak merupakan sebuah acara hackathon global dianjurkan Bahagian Bumi dan Sains Angkasa, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dengan kerjasama kerajaan Sarawak.

Diadakan pada 7 dan 8 Okt lepas, acara itu menerima penyertaan sebanyak 3,936 individu dengan 33 peratus daripadanya berasal dari kawasan pinggir bandar dan luar bandar Sarawak termasuk Subis, Baram, Sri Aman dan Kapit.

-- BERNAMA