NEGARA KESATUAN EROPAH TUNJUK MINAT MELABUR DI SARAWAK - ABANG JOHARI

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg (File pix)
15/10/2023 11:42 PM

KUCHING, 15 Okt (Bernama) -- Semakin banyak negara Kesatuan Eropah (EU) berminat untuk melabur di Sarawak kerana dasar serta polisi negeri yang mampan, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Mereka (pelabur) telah berjumpa dengan saya termasuk Duta EU (ke Malaysia Michalis Rokas) hendak belajar dari Sarawak… sebab dia kata polisi kita (Sarawak) mesra alam sekitar… dan juga dari sudut dasar yang mampan,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena Ulang Tahun ke-50 Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak di sini, malam ini.

Abang Johari berkata Sarawak mempunyai kepakaran serta cara tersendiri dalam pembangunan untuk mengukuhkan ekonomi negeri itu.

Beliau turut mencadangkan program pertukaran pelajar Eropah-Malaysia, khususnya di institusi pengajian tinggi di Sarawak bagi memberi peluang kepada pelajar memperkasa pengetahuan mengenai teknologi.

“Saya tahu di negara Sweden terkenal dengan usaha menukar sisa buangan kepada tenaga…contohnya botol plastik boleh digunakan untuk dijadikan bahan dalam turapan jalan raya.

“Usaha itu dinamakan sebagai ekonomi kitaran, yang tidak membuang sisa buangan, namun dijadikan sebagai bahan pembangunan ekonomi,” katanya.

Justeru, beliau menyeru alumni UiTM yang mempunyai pelbagai kepakaran untuk memberikan input kepada kerajaan negeri dalam usaha membangunkan Sarawak.

-- BERNAMA