RABIES: PATUHI SOP URUS ANJING LIAR - ABANG JOHARI

13/10/2023 03:16 PM

KUCHING, 13 Okt (Bernama) -- Pihak berkuasa tempatan digesa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam sebarang penguatkuasaan antirabies termasuk penghapusan anjing liar.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kebajikan haiwan ini juga perlu dipantau.

"Kita mempunyai SOP dan perlu mematuhinya supaya ia tidak sekadar panduan di atas kertas," katanya ketika berucap pada Persidangan Asia untuk Haiwan Sarawak 2023 di sini hari ini.

Pada 1 Okt, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata kerajaan menyasarkan untuk memberi vaksin kepada 40,000 haiwan peliharaan di Sarawak tahun ini sebagai usaha mengekang penularan rabies.

Chan berkata setakat 7 Sept lepas, sebanyak 27,668 haiwan peliharaan telah divaksin.

Sejumlah 949 kes rabies direkodkan di Sarawak sejak 2017, dengan 72 kes telah menjangkiti manusia dan mengakibatkan 65 kematian.

Sementara itu, Abang Johari berkata tumpuan harus diberikan kepada pelaksanaan program pemandulan yang mantap, berbanding menawarkan ganjaran kepada orang ramai.

"Kita tahu bahawa haiwan yang berkeliaran akan membiak dalam tempoh enam bulan dan masalah itu akan berulang jika kita tidak menangani punca masalah terbabit.

"Kita boleh berbincang untuk adakan kempen pemandulan di seluruh negeri, kita memerlukan rakan gabungan untuk bekerja bersama-sama dan melakukan kajian tentang perkara ini. Marilah kita bersama-sama membuat seruan terhadap kawalan dan pengurusan populasi kucing dan anjing liar yang berperikemanusiaan," katanya.

Abang Johari berkata pemilik juga bertanggungjawab memastikan agar anjing mereka tidak berkeliaran di luar kawalan yang boleh mendatangkan masalah kepada komuniti atau alam sekitar.

-- BERNAMA