JUDI SABUNG AYAM: 16 LELAKI DITAHAN DI KOTA TINGGI

09/10/2023 01:44 PM

KOTA TINGGI, 9 Okt (Bernama) -- Polis menahan 13 lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing disyaki terlibat dalam kegiatan judi sabung ayam dalam operasi di kawasan Felda Tunggal di sini semalam. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi DSP Nik Azaham Nik Aziz berkata kesemua mereka yang berumur lingkungan 25 hingga 60 tahun itu, ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari. 

Beliau berkata pihaknya turut merampas lapan ekor ayam jantan, gelanggang dan peralatan serta wang tunai berjumlah RM5,473 yang dipercayai digunakan bagi kegiatan terbabit. 

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32 (1) (a) dan 32 (2) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 25 (1) (n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. 

Nik Azaham berkata kesemua mereka ditahan reman selama tiga hari hingga Rabu ini.

“Kita beri amaran dan akan mengambil tindakan tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan itu,” katanya. 

-- BERNAMA