LEBIH 10,000 HADIR MERIAHKAN KARNIVAL FIESTA AIR SIBUJAYA

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah
07/10/2023 08:56 PM

SIBU, 7 Okt (Bernama) -- Karnival Fiesta Air Sibujaya, satu-satunya pesta air di Sarawak, yang berlangsung di Bandar Baru Sibujaya hari ini berjaya menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

Fiesta itu, yang merupakan edisi keempat dan mengambil ilham Pesta Air Songkran di Thailand, adalah anjuran bersama Majlis Daerah Luar Bandar Sibu serta Kumpulan Amcorp Berhad.

Upacara perasmian fiesta itu disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata fiesta itu dapat mengeratkan lagi hubungan penduduk pelbagai latar belakang di kawasan tersebut.

"Kami tahu bahawa kumpulan berbilang kaum tinggal di Sibujaya. Ada orang Dayak, Melayu dan Cina. Apabila mereka berkumpul dalam program dan acara seperti ini, ia membantu mengeratkan hubungan antara kumpulan etnik yang berbeza di kawasan ini," katanya kepada pemberita.

Justeru, Abdul Karim berkata beliau menghargai pihak Amcorp kerana selain membangunkan Sibujaya, mereka juga membawa pelbagai aktiviti dan acara untuk masyarakat di kawasan itu.

"Kumpulan AmCorp ialah sebuah syarikat yang telah memainkan peranan penting dalam membangunkan kawasan ini dari wilayah yang sangat kecil kepada sebuah bandar satelit sepenuhnya," kata beliau.

-- BERNAMA