84 WARGA KKD DI SARAWAK TERIMA ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG

05/10/2023 01:09 PM

KUCHING, 5 Okt (Bernama) -- Sejumlah 84 warga kerja jabatan serta agensi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Sarawak yang memberi perkhidmatan dan sumbangan cemerlang sepanjang 2022 menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) hari ini. 

Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, menyampaikan APC itu pada majlis yang berlangsung di Auditorium P. Ramlee RTM, di sini. 

Dalam ucapannya, beliau berkata warga kementerian perlu terus mengamalkan sikap saling menghormati dan bertoleransi serta komitmen bagi membentuk jati diri warga KKD yang berintegriti. 

“Ini seterusnya menjadi faktor utama melahirkan masyarakat maju dengan menitikberatkan ilmu pengetahuan, adab dan sikap, budaya serta semangat cintakan negara,” katanya. 

Hadir sama Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKD Mazlan Abd Mutalib, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Datuk Suhaimi Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Selain itu, turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datin Rozita Waty Ridzuan. 

Majlis APC KKD 2022 zon Sarawak menyaksikan seramai 45 penerima dari RTM, 36 penerima warga JaPen, dua dari Finas serta seorang dari Bernama. 

Secara keseluruhan, majlis berkenaan meraikan seramai 668 orang pegawai melibatkan kementerian, jabatan dan agensi yang mempamerkan kecemerlangan sepanjang berkhidmat bagi tahun lepas.

-- BERNAMA