SARAWAK MAHU WAKIL DALAM MAJLIS TENAGA NEGARA - ABANG JOHARI

23/09/2023 05:11 PM

KUCHING, 23 Sept (Bernama) -- Sarawak telah menyampaikan hasrat meminta Kerajaan Persekutuan melantik wakil negeri itu menganggotai Majlis Tenaga Negara yang seiringan dengan dasar Sarawak mengutamakan tenaga hijau.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau telah menyampaikan permohonan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu Mesyuarat Kabinet di Kuching pada 16 Sept lepas.

“Anwar juga telah bawa perkara ini kepada Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli). Sarawak mempunyai teknologi serta cara kita sendiri untuk mengurangkan karbon.

“Kita juga buat masa ini mengeluarkan tenaga boleh baharu seperti tenaga hidro, solar, angin dan hidrogen,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Kuching di sini, hari ini.

Pada 29 Ogos lepas, Rafizi menyatakan bahawa kerajaan bercadang mengadakan mesyuarat pertama Majlis Tenaga Negara seawal bulan depan.

Beliau berkata Majlis Tenaga Negara yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri dan Kementerian Ekonomi berperanan sebagai sekretariat, akan menetapkan hala tuju dan dasar strategik peringkat tinggi yang membolehkan jawatan kuasa kerja untuk menyelaras serta melaporkan kemajuan mengikut peringkat.

Penubuhan majlis itu juga sebagai salah satu langkah dalam memastikan matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dapat dilaksanakan secara efektif.

-- BERNAMA