BAGSF-2 MULAKAN PENGHANTARAN GAS KE LOJI METANOL BINTULU

18/09/2023 04:04 PM

BINTULU, 18 Sept (Bernama) -- Kemudahan Gas Tambahan Bintulu (BAGSF-2) telah memulakan penghantaran gas ke loji metanol baharu di Bintulu, Sarawak yang menyokong pertumbuhan selanjutnya industri petrokimia di Sarawak.

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam kenyataan hari ini berkata, bekalan awal gas daripada BAGSF-2 menerusi talian paip yang baru dibina menyediakan bahan api untuk pengoperasian loji metanol Sarawak Petchem Sdn Bhd (SPSB) yang berskala dunia.

Dengan kapasiti reka bentuk sebanyak 390 juta kaki padu standard sehari (MMscfd), kemudahan BAGSF-2 memenuhi keperluan loji metanol baharu itu (160 MMscfd), selain 70 MMscfd untuk dibekalkan kepada loji janakuasa Sarawak Energy Bhd (SEB) yang sedia ada.

Kapasiti selebihnya diperuntukkan kepada projek lain di Bintulu di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan acara itu bersempena meraikan kesediaan kemudahan berkenaan untuk menghantar gas di Tanjung Kidurong hari ini.

Dalam ucapannya, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Petronas Malaysia Mohamed Firouz Asnan berkata bekalan gas tambahan itu akan memacu pertumbuhan selanjutnya sektor hiliran di Sarawak terutamanya di kawasan Bintulu.

“Projek ini memperlihatkan komitmen kami untuk menyokong aspirasi Sarawak bagi pembangunan hiliran yang lebih besar, berdasarkan tanggungjawab kami untuk membangunkan sumber hidrokarbon di Malaysia demi manfaat rakyat,” kata Mohamed Firouz.

Beliau berkata Petronas berbesar hati menjadi antara penyumbang kepada usaha untuk menambah nilai sumber hidrokarbon yang ditemui di pantai Sarawak. 

Petronas memeterai perjanjian dengan kerajaan negeri Sarawak pada 2016 untuk membekalkan sebanyak 450MMscfd gas asli ke Sarawak bagi penjanaan kuasa dan industri petrokimia milik kerajaan, yang membawa kepada pembinaan BAGSF-2 yang dilaksanakan oleh Petronas Carigali Sdn Bhd.

Lima tahun seterusnya, Petronas memeterai satu lagi memorandum persefahaman untuk meningkatkan bekalan gas sehingga 1,200 bilion kaki padu standard gas sehari ke Sarawak. 

-- BERNAMA