RAKYAT DI TELOK MELANO TERUJA BERTEMU AGONG, MERIAHKAN HARI TERAKHIR KEMBARA KENALI BORNEO

13/09/2023 04:58 PM

SEMATAN, 13 Sept (Bernama) -- Kembara Kenali Borneo yang melabuhkan tirai di Telok Melano di sini hari ini, meninggalkan kenangan terindah buat penduduk Bumi Kenyalang khususnya yang mendiami kawasan pelancongan terletak di penghujung selatan Sarawak ini. 

Penduduk Kampung Telok Melano yang antaranya pengusaha inap desa di pesisir pantai kawasan itu tidak melepaskan peluang bertemu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan berangkat menyempurnakan majlis pecah tanah projek Masjid Al-Sultan Abdullah di sini  sempena jelajah berkenaan. 

Salah seorang pengurus inap desa Melano Cottage, Canida Bill, 50, berkongsi keterujaannya menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda  ke Kilometer 0 Lebuhraya Pan Borneo, Pantai Telok Melano seawal 10 pagi tadi. 

“Beberapa kali percubaan untuk bersalaman dengan Tuanku, namun akhirnya kali kelima percubaan membawa tuah, saya dapat realisasikan impian saya,” katanya.

Canida turut berharap inisiatif jelajah sedemikian dapat diteruskan oleh Yang di-Pertuan Agong seterusnya sebagai usaha mendekati rakyat Sabah dan Sarawak, sekali gus menjadi “jambatan” kepada warga Semenanjung dengan Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu itu.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada 12.45 tengah hari tadi ke Telok Melano, kira-kira 140 kilometer dari bandar raya Kuching, merupakan persinggahan terakhir Kembara Kenali Borneo. 

Berangkat sama bagi Kembara Kenali Borneo di Sarawak ialah paduka anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Sementara itu, Siti Salmah Karem, 64, yang mengusahakan inap desa Lentera Homestay Telok Melano berkata peluang menyaksikan sendiri keberangkatan Seri Paduka Baginda ke kawasan itu umpama mimpi. 

Beliau yang bakal menyambut kelahiran ke-64 tahun pada 20 Sept ini berkata momen berkenaan menjadi “hadiah” hari lahir yang teristimewa buatnya.

“Saya teruja nak bertemu Tuanku sehingga saya dah pilih dan menyeterika baju yang mahu dipakai hari ini sejak dua hari lepas, selain itu keluarga besar saya dari Kuching turut datang sejak semalam untuk bersama-sama menyambut (Seri Paduka) Baginda,” kata ibu kepada tiga anak itu. 

Cuaca panas terik di Pantai Telok Melano hari ini tidak menghalang lebih 500 orang melibatkan penduduk,  pelajar sekolah serta peniaga dari kawasan berkenaan untuk berkumpul dan menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda dan paduka anakanda. 

Kembara yang bermula dari 3 Sept di Tawau, Sabah  hingga hari ini merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak, mengakhiri pengembaraan di Sabah, pada 7 Sept lepas sebelum memasuki Sarawak melalui Brunei.

-- BERNAMA