AGONG, PERMAISURI SERAH SENDIRI PASPORT SEBELUM MEMASUKI SARAWAK

09/09/2023 06:07 PM

MIRI, 9 Sept (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang sedang dalam perjalanan dari Brunei ke Sarawak mengambil peluang untuk beramah mesra dengan petugas imigresen.

Meneruskan perjalanan hari ketujuh Kembara Kenali Borneo menuju ke Miri hari ini,  Al-Sultan Abdullah yang memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda ditemani Tunku Azizah berkenan turun dari kenderaan untuk menyerahkan sendiri pasport bagi mendapatkan cap imigresen di sempadan Brunei-Sarawak.

Suasana itu dirakamkan ketika Kembara Kenali Borneo melalui kaunter pandu lalu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, di sini, kira-kira 12 tengah hari untuk meneruskan perjalanan ke Miri bagi menghadiri majlis yang dijadualkan hari ini.

Hal sama turut dilakukan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berangkat sama menyertai perjalanan Kembara Kenali Borneo di Sarawak.

Turut berangkat menyertai Kembara Kenali Borneo di Bumi Kenyalang itu ialah Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Sejurus berangkat meninggalkan ICQS, Seri Paduka berdua serta paduka anakanda meriah disambut rakyat Sarawak yang sedia menanti bagi meraikan keberangkatan rombongan diraja itu, di sepanjang jalan sejauh hampir 30 kilometer (km) dari kompleks imigresen ke Miri Handicraft Centre, lokasi pertama persinggahan kerabat diraja itu di bandar raya ini.

Pelbagai gelagat sempat dirakamkan dalam perjalanan lebih dua jam itu sehinggakan jadual  persinggahan Seri Paduka berdua yang sepatutnya berangkat tiba di Miri Handicraft Centre pada 11.45 pagi mengalami kelewatan.

Apa yang amat menarik perhatian adalah orang ramai yang meraikan keberangkatan Seri Paduka berdua ketika menungggu di bahu jalan, memakai pakaian kebudayaan dari pelbagai etnik suku kaum Sarawak seperti Kayan, Kelabit, Kenyah, Kedayan dan Iban.

Sebahagian mereka juga mengambil kesempatan dan bersungguh-sungguh mempersembahkan tarian tradisi ketika konvoi Kembara Kenali Borneo melalui jalan di kawasan perumahan mereka.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Miri Handicraft Centre, mendapati orang ramai mula berkumpul seawal 10 pagi di pekarangan pusat kraftangan itu untuk menyambut serta meraikan kunjungan pasangan diraja berkenaan di pusat kraftangan yang terletak di tengah bandar raya Miri.

Bukan sahaja dipenuhi masyarakat setempat tetapi ada juga penduduk dari daerah Betong sanggup menempuh perjalanan yang mengambil masa hampir lapan jam ke daerah ini  kerana ingin melihat Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta keluarga diraja secara bersemuka.

Ketika ditemui, Izwan Ismail, 32, yang tinggal di Saratok, Betong berkata beliau bersama keluarganya telah berada di Miri sejak Khamis lepas, hanya untuk bertemu dengan Seri Paduka berdua di lokasi pertama kunjungan pasangan diraja itu.

“Perasaan memang sangat teruja nak jumpa Tuanku berdua sampai saya sanggup memandu dari Saratok untuk ke sini dengan harapan dapat tengok Tuanku,” katanya, yang akan pulang ke tempat tinggalnya di Kampung Ulu Kupang, Saratok, selepas Seri Paduka berdua berangkat meninggalkan pusat kraftangan itu.

Nurshahera Abd Rashid, 35, yang tinggal di kompleks kediaman polis di sini berkata beliau mengambil peluang membawa ibu bapa mentuanya yang menetap di Saratok untuk berkunjung ke kediamannya bagi menyaksikan keberangkatan Seri Paduka berdua ke Miri.

“Hampir seminggu juga mentua tinggal di rumah saya sebab hendak melihat keberangkatan Agong dan Raja Permaisuri ke Miri hari ini. Kami pun sangat teruja sebab ini pertama kali (Yang diPertuan) Agong dan Raja Permaisuri ke sini.

“Selalu tengok dalam TV (televisyen) sahaja, kali ini dapat tengok depan-depan. Perasaan itu seronok sangat sebab saya sangat admire dengan keperibadian Agong dan Raja Permaisuri yang mesra rakyat,” katanya.

Nurshahera, yang bekerja sebagai jururawat, berkata beliau juga sanggup mengambil cuti berehat hari ini untuk memastikan hasratnya melihat sendiri Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri tercapai.

“Kalau boleh saya nak bergambar dan bersalaman sekali tetapi nampak dari jauh pun sudah memuaskan hati saya dan keluarga,” kata ibu kepada seorang anak lelaki itu.

Cuaca panas tidak menghalang orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat beramai-ramai mengunjungi ke pusat kraftangan menanti keberangkatan tiba Seri Paduka berdua bersama konvoi Kembara Kenali Borneo.

Kembara Kenali Borneo hari ini meneruskan penjelajahan ke Sarawak menerusi Miri setelah Seri Paduka berdua singgah di Bandar Seri Begawan, Brunei, pada Khamis dan berangkat ke Majlis Santapan Malam yang dihoskan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, malam tadi.

Kembara Kenali Borneo akan menuju ke Bekenu dan Bintulu pada esok, diikuti persinggahan di Sibu, Sri Aman dan Kuching sebelum ke Telok Melano, di selatan Sarawak pada 13 Sept.

Kembara Kenali Borneo untuk merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak, mengakhiri pengembaraan di Sabah, pada Khamis sejak ia bermula pada 3 Sept lepas.

Penjelajahan selama 11 hari itu melibatkan perjalanan jarak sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

-- BERNAMA