GUNA MATA WANG SENDIRI HANYA PENDAPAT PERIBADI NANTA - ABANG JO 

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg
02/09/2023 05:13 PM

KUCHING, 2 Sept (Bernama) -- Sarawak akan tetap menggunakan mata wang Ringgit Malaysia (RM) di sebalik penggunaan mata wang sendiri seperti dibayangkan oleh  Menteri Kerja Raya, Datuk Seri  Alexander Nanta Linggi.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata cadangan yang dibayangkan oleh Nanta yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu hanya pandangan peribadi.

Menurutnya, ia merupakan isu yang cukup rumit dan memerlukan penelitian khusus.

“Ia sekadar pandangan peribadi Nanta. Kita sudah ada mata wang Malaysia, jadi kita kena guna itu sahaja (gunakan mata wang Malaysia)," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 peringkat Sarawak, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Nanta yang membayangkan kemungkinan Sarawak untuk memperkenalkan mata wang sendiri memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu di Malaysia.

Semalam, Ahli Parlimen Kapit itu membayangkan perkara itu dalam siaran podcast bertajuk 'Dari Malaya ke Malaysia: 60 tahun'.

-- BERNAMA