PENYERTAAN DEA 2023 UNTUK IKTIRAF PEMACU INISIATIF DIGITAL DI SARAWAK KINI DIBUKA

30/08/2023 04:10 PM

KUCHING, 30 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Sarawak, dengan kerjasama Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), mengumumkan bermulanya Anugerah Ekonomi Digital 2023 (DEA2023).

Anugerah itu bertujuan mengiktiraf individu dan organisasi yang memacu inisiatif digital di Sarawak.

“SMA mempelawa penyertaan daripada pelbagai sektor untuk mempamerkan idea inovatif, penyelidikan, kepimpinan berwawasan dan penyelesaian mereka yang menyumbang kepada transformasi digital Sarawak.

“DEA2023 tahun ini serentak dengan Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia (WCIT) ke-27 dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) yang akan berlangsung mulai 4 hingga 6 Okt,” menurut SMA dalam kenyataan hari ini.

Kategori anugerah termasuk Anugerah Ekonomi Digital Premier yang berprestij bersama lapan kategori lain seperti Transformasi Teknologi Digital, Keusahawanan dan Pemula, Kandungan Kreatif Digital dan Kelestarian Alam Sekitar.

“Anugerah Ekonomi Digital Perdana yang berprestij, mercu tanda kecemerlangan, bukan sahaja menawarkan hadiah RM20,000 tetapi juga trofi dan sijil.

“Pemenang lapan kategori lain juga akan membawa pulang hadiah bernilai RM10,000 setiap satu, di samping trofi dan sijil,” katanya.

Penyertaan dibuka mulai 28 Ogos hingga 25 Sept ini.

Peserta disaran membentangkan ringkasan projek yang komprehensif, strategi pembangunan dan dokumen sokongan yang mempamerkan kesan dan inovasi inisiatif mereka.

Untuk maklumat lanjut, garis panduan penyertaan, kriteria penilaian dan untuk mengambil bahagian dalam perjalanan transformatif ini boleh didapati dengan melayari laman web rasmi DEA2023 di https://digitaleconomyawards.com.

-- BERNAMA