KENAL PASTI RASUAH BUKAN HANYA TANGGUNGJAWAB SPRM, JURUAUDIT

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
29/08/2023 07:36 PM

KUCHING, 29 Ogos (Bernama) -- Mengenal pasti berlakunya rasuah dan memastikan perbuatan itu tidak berulang, bukanlah hanya tugas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan juruaudit semata-mata.

Sebaliknya Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata tugas itu merupakan tanggungjawab semua, terutamanya mereka yang berada dalam perkhidmatan awam.

“Menjadi tanggungjawab peribadi dan profesional kita semua, untuk melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa berkaitan. Jika kita gagal mencegah barah itu daripada merebak dalam perkhidmatan, bermakna kita telah mengkhianati akauntabiliti kita sendiri.

“Perkara ini akan menghalang kita daripada mewujudkan persekitaran yang telus, beretika dan integriti,” katanya dalam ucapannya di hari tadbir urus korporat Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) 2023, di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh.

Sementara itu Awang Tengah menggesa kesemua anak syarikat STIDC untuk mempunyai peraturan dan undang-undang yang komprehensif bagi memperkasakan tadbir urus yang baik dalam syarikat masing-masing.

“Dengan prestasi anak syarikat yang baik, membolehkan mereka membayar dividen kepada STIDC dan perkara ini penting dalam usaha kita membantu visi negeri mencapai sasaran nilai eksport kayu dan produk kayu RM8 bilion.

“Tadbir urus tidak datang dengan mudah, ia memerlukan penyertaan dan penglibatan aktif dari semua peringkat termasuk ahli lembaga pengarah, pengurusan dan kakitangan. Ia juga memerlukan institusi yang kukuh, peraturan undang-undang dan sistem semak dan imbang yang efektif,” katanya.

-- BERNAMA