TAUFIQ YAP ASPIRASIKAN KESERASIAN SOSIAL LEBIH BAIK RAKYAT MALAYSIA

Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) President Prof Datuk Taufiq Yap Yun Hin showing a Chinese translation of the holy book Al-Quran, which took six years to be completed. Prof Yap, who is a chemistry expert attached to Universiti Putra Malaysia (UPM) is leading MACMA to create a better "Social Chemistry" in Malaysia.
23/08/2023 04:30 PM

Oleh Hamdan Ismail

KUCHING, Aug 23 (Bernama) -- Ia bukanlah topik syarahan yang biasa disampaikan oleh Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin di universiti atau seminar sains, apabila pakar kimia itu menaiki pentas di sini, baru-baru ini.

Penyelaras Pusat Kecemerlangan Sains dan Teknologi Katalisis Universiti Putra Malaysia (PutraCAT) itu membicarakan mengenai bidang di luar kelayakan akademiknya, mengutarakan pandangan mengenai hal ehwal sosial berbanding sains tulen.

“Nama keluarga saya Yap, Yun (dalam bahasa Cina) bermaksud selama-lamanya, Hin ialah gembira. Inilah diri saya. Saya seorang yang sangat gembira selama-lamanya,” katanya disambut tepukan gemuruh lebih 200 peserta Seminar Cina Muslim Antarabangsa yang berlangsung di sini.

Pada hari itu beliau memakai ‘topi’ berbeza. Bukan sebagai saintis tetapi sebagai Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dengan bercakap mengenai menjadi seorang berbangsa Cina dan Muslim di Malaysia.

Syarahan sepanjang 30 minit mengenai subjek itu membincangkan tentang pencapaian dilakar Cina Muslim Malaysia dan berkongsi aspirasinya untuk mewujudkan ‘social chemistry’ atau keserasian sosial yang lebih baik dalam masyarakat berbilang kaum.

Bilangan Cina Muslim di Malaysia adalah kecil, kira-kira 70,000 orang seluruh negara dan menurut Prof Yap, angka itu mewakili satu peratus daripada populasi kaum Cina di negara ini.

Bercakap kepada Bernama selepas syarahan itu, beliau berkata meskipun bilangan mereka kecil, MACMA secara aktif terlibat dalam menggalakkan pemahaman yang lebih baik mengenai Islam dalam kalangan komuniti Cina, selain memperkenalkan Cina Muslim kepada bangsa lain. 

“Untuk memahami sesuatu agama tidak bermakna anda perlu memeluk agama itu. Fahamkan, supaya anda lebih bertoleransi (dan) anda boleh membina kasih sayang antara satu sama lain sebenarnya,” katanya.

Bagi mencapai persefahaman antara kaum dan agama, beliau berkata individu daripada kumpulan etnik dan kepercayaan berbeza perlu bergaul dan bekerjasama untuk mencapai toleransi yang lebih besar.

“Sebenarnya, satu daripada tonggak di bawah Malaysia MADANI, konsep yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri kita (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ialah hormat. Tiada cara lebih baik untuk membina rasa hormat melainkan dengan saling memahami,” katanya.

Prof Yap berkata Sarawak telahpun menunjukkan contoh yang sempurna bagaimana Malaysia MADANI dilaksanakan, yang mana tahap toleransi kaum dan agama adalah tinggi hingga membolehkan penduduknya hidup dalam harmoni dan saling menghormati.

Beliau turut gembira apabila perpaduan ditekankan secara ketara dalam tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini yang mendapat sokongan penuh MACMA sejak penubuhan persatuan itu pada 1994.

Beliau berkata tema “Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” adalah selari dengan misi persatuan itu selama ini, untuk menerapkan kesefahaman dan perpaduan yang lebih kukuh, bagi mencipta kejayaaan lebih gemilang buat Malaysia.

Sebagai negara pelbagai kaum, beliau berkata setiap warganegara sentiasa mahu hidup bersama-sama secara aman, supaya usaha boleh ditumpukan kepada menyumbang untuk pembangunan negara ini.

“Kami, Cina Muslim mahu memainkan peranan signifikan yang boleh mencipta suatu impak kepada usaha pembinaan negara kita. supaya Malaysia menjadi negara paling harmoni di dunia,” tambahnya.

-- BERNAMA