77 TITIK PANAS KEBAKARAN DIKESAN DI SARAWAK BULAN INI

17/08/2023 10:23 AM

KUCHING, 17 Ogos (Bernama) -- Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpangkalan di Singapura telah mengesan 77 titik panas kebakaran di Sarawak bagi tempoh antara 1 hingga 15 Ogos lepas, dengan bilangan titik panas tertinggi direkodkan sebanyak 36 pada 1 Ogos.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni berkata bagi tempoh sama, sebanyak 2,153 titik panas turut dikesan di Kalimantan dengan bilangan tertinggi pada 5 Ogos iaitu sebanyak 376 titik panas.

“Pada tempoh 13-15 Ogos, tiada titik panas dikesan di Sarawak, manakala 424 titik panas dikesan di Kalimantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ASMC turut melaporkan sejumlah 195 titik panas dikesan di negeri ini dan 2,820 di Kalimantan, Indonesia bagi tempoh Januari hingga Julai lepas. 

Bagaimanapun, katanya sepanjang tempoh antara Januari hingga setakat 8 pagi semalam, trend Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sarawak adalah dalam lingkungan tahap baik sehingga sederhana dengan tiada bacaan tidak sihat direkodkan.

“Berdasarkan tinjauan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia bertarikh 26 Julai, negara kini berada dalam fasa Monsun Barat Daya (MBD) yang telah bermula pada 15 Mei lepas dan dijangkakan berakhir pada pertengahan September ini,” katanya.

Dr Hazland berkata angin dengan kelembapan udara yang lebih rendah lazimnya bertiup secara konsisten dari arah barat daya semasa fasa MBD ini yang menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini. 

Katanya ASMC meramalkan keadaan kering akan berterusan di wilayah berdekatan seperti di bahagian selatan dan tengah Kalimantan yang mengakibatkan risiko peningkatan titik panas dan asap jerebu di kawasan mudah terbakar.

Beliau berkata Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) telah mengaktifkan bilik operasi jerebu, memberhentikan pengeluaran permit pembakaran terbuka secara terkawal serta membatalkan permit yang telah dikeluarkan untuk tujuan itu. 

“NREB juga telah mengeluarkan notis larangan pembakaran terbuka kepada semua pemaju projek dan mengadakan program kesedaran bersama agensi-agensi lain bagi memastikan kualiti udara terjaga,” katanya dan menambah program rondaan di lapangan turut dilaksanakan bagi memastikan pembakaran terbuka tidak dijalankan.

Katanya sesiapa yang melakukan kesalahan pembakaran terbuka boleh didakwa di bawah Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(2) Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

“Orang ramai disarankan untuk minum air secukupnya, mengurangkan aktiviti luar atau memakai topeng muka, terutamanya bagi golongan berisiko tinggi yang perlu melakukan aktiviti luar ketika menghadapi tempoh cuaca panas dan kering.

“Orang awam juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka di talian 082-319543 atau pejabat-pejabat NREB berdekatan,” katanya.

-- BERNAMA