PENCERITA ANTARABANGSA TAMPIL DI FESTIVAL KANAK-KANAK SARAWAK

Datuk Rosey Yunus (File photo)
09/08/2023 04:17 PM

KUCHING, 9 Ogos (Bernama) -- Aktiviti bercerita oleh pencerita dari Korea, Indonesia, Singapura, Brunei serta tempatan antara aktiviti menarik pada Festival Kanak-Kanak Sarawak anjuran Pustaka Negeri Sarawak (PNS) dari 19 Ogos hingga 3 Sept ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus berkata program terbuka untuk kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun itu akan diadakan PNS Kuching pada 19 dan 20 Ogos ini, diikuti PNS Miri (26 dan 27 Ogos) serta PNS Sibu (2 dan 3 Sept). 

"Program yang memasuki edisi keenam penganjurannya ini bertujuan menerapkan minat kanak-kanak terhadap aktiviti STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik) dengan memberi pendedahan kepada pesertanya terhadap perpustakaan sebagai pusat maklumat dan rujukan,” katanya.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini beliau berkata program itu turut bertujuan mewujudkan suasana pembelajaran melalui aktiviti beriadah selain menanam minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau berkata PNS akan menyediakan ruangan aktiviti bagi kanak-kanak pada program itu termasuk Storyspace, Gastrospace, Makerspace, Fauna Space, Myhero Space, Martketspace, Performance and Cultural Space, Lestari Space, Gamespace dan Artistic Space.

Di samping itu, pihaknya juga akan merasmikan Wendy's House di PNS Kuching iaitu satu pondok permainan kanak-kanak yang didermakan oleh Jo Williams dari BookTrust, United Kingdom.

"Penyertaan untuk program ini adalah percuma. Tahun lepas dianggarkan lebih 11,000 kanak-kanak mengambil bahagian dan tahun ini kita mahu menambah sehingga 15,000 kanak-kanak," katanya.

-- BERNAMA