JUALAN RAHMAH: HAMPIR 190,000 PENGUNJUNG DAPAT MANFAAT DI SARAWAK

Matthew Dominic Barin
08/08/2023 06:38 PM

KUCHING, 8 Ogos (Bernama) -- Program Jualan Rahmah (PJR) di Sarawak yang bermula sejak April lepas mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat negeri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan dan Kos Sara hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata setakat Julai lepas, sebanyak 223  program itu telah dilaksanakan dengan  kehadiran 189,553 orang pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang membeli barangan keperluan pada harga lebih murah.

Beliau berkata antara barangan keperluan asas yang dijual semasa PJR ialah ayam, telur, ikan, daging, beras, minyak masak, bawang putih, bawang merah, bihun, mi, susu tepung, biskut, sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Lain-lain barangan adalah tertakluk kepada bekalan setempat dan juga kemampuan premis yang mengambil bahagian dalam PJR ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 123 premis telah menyertai program jualan itu di Sarawak dengan pelaksanaannya berdasarkan kawasan Parlimen.

“Setiap kawasan Parlimen akan melaksanakan sekurang-kurangnya dua kali PJR sebulan dan secara bergilir-gilir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen yang sama,” katanya.

PJR memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran setempat.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh dilaporkan berkata kementerian itu telah menerima peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Julai lepas bagi mengadakan program itu dua kali sebulan di 640 DUN di seluruh negara.

Peruntukan tambahan itu bagi memastikan PJR terutama model jualan bergerak kedai cari rakyat sampai ke semua pelosok kawasan terutamanya kawasan B40 dan program perumahan rakyat termiskin (PPRT).

-- BERNAMA