KONVOI KMJG PERINGKAT SARAWAK BERMULA

08/08/2023 10:44 AM

KUCHING, 8 Ogos (Bernama) -- Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) peringkat Sarawak yang bermula dari bandar raya ini hari ini hingga 15 Ogos depan akan melibatkan perjalanan sejauh kira-kira 1,100 kilometer (km) bagi menyampaikan mesej patriotik kepada masyarakat.

Pengarah Jabatan Penerangan (Japen) Sarawak Jaafar Jantan berkata konvoi itu bakal merentasi bahagian-bahagian utama di negeri berkenaan selain sempadan Brunei hingga ke Sipitang, Sabah.

Beliau berkata konvoi disertai 10 kenderaan itu dijadual berhenti di beberapa ‘checkpoint’ yang menjadi kawasan tumpuan orang awam termasuk pasar tamu, Ibu Pejabat Polis Daerah serta balai bomba.

“Di setiap hentian juga kita akan anjur pelbagai program bersama masyarakat yang akan turut dihadiri oleh pemimpin tempatan.

“Konvoi juga akan singgah di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei dengan diadakan program berkaitan Bulan Kebangsaan di sana,” katanya kepada Bernama.

Konvoi KMJG yang bermula dari ibu pejabat Japen Sarawak hari ini dijadual ke Serian, Sri Aman, Betong, Saratok dan Sibu. 

Esok (9 Ogos) konvoi akan meneruskan perjalanan dari Sibu ke Tatau dan Bintulu, Bintulu-Miri-Limbang (10 Ogos), Limbang-Lawas ( 11 Ogos), Lawas-Sipitang (12 Ogos), Sipitang-Lawas (13 Ogos), Lawas-Brunei Bintulu (14 Ogos) sebelum kembali ke Kuching pada 15 Ogos.

Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Sarawak telah dilancarkan oleh Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 3 Ogos lepas.

Jaafar berkata semangat patriotisme tinggi dalam kalangan anggota badan beruniform merupakan antara mesej utama yang diketengahkan sempena Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Sarawak.

Katanya nilai-nilai baik seperti kepatuhan kepada undang-undang dan kecintaan kepada negara yang sinonim dengan badan beruniform seperti polis, tentera serta bomba wajar dijadikan teladan.

-- BERNAMA