SARAWAK MAHU CONTOHI KECEKAPAN PENGURUSAN PELABUHAN YOKOHAMA - UGGAH 

Sarawak Deputy Premier and Minister of Infrastructure and Port Development, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS fb
05/08/2023 02:55 PM

KUCHING, 5 Ogos (Bernama) -- Sarawak berhasrat untuk mencontohi kecekapan pengurusan  Pelabuhan Yokohama di Jepun, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Ini susulan kunjungan delegasi Sarawak yang diketuai beliau ke pelabuhan itu yang terletak di Wilayah Kanagawa, hari ini. 

Uggah yang juga merupakan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Negeri (MIPD) berkata Sarawak mahu mencapai tahap produktiviti pengendalian kontena yang sama seperti Pelabuhan Yokohama. 

"Kerajaan Sarawak kekal komited sepenuhnya terhadap agenda pembangunan pelabuhannya. Ini memerlukan kita menaik taraf kemudahan dan peralatan pelabuhan, merangsang pertumbuhan dan kecekapan dalam infrastruktur pelabuhan kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, semasa lawatan tersebut delegasi dari Sarawak diberikan taklimat menyeluruh mengenai Pelabuhan Yokohama oleh pegawai kanannya Yasuyuki Saito dan Masahiko Shirai.

Menurut Yasuyuki, Pelabuhan Yokohama merupakan satu daripada dua pelabuhan pintu masuk utama ke Jepun bagi pengendalian kontena.

"Ia ditadbir oleh City of Yokohama dan dikendalikan oleh Yokohama-Kawasaki International Port (YKIP). Pelabuhan Yokohama mencatatkan statistik sangat memberangsangkan apabila mengendalikan 2.6 juta TEUs (unit bersamaan dua puluh kaki) tahun lepas.

"Terutamanya, ia mencapai kedudukan teratas dalam Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena (CPPI) pada 2020, dengan produktiviti pengendalian kontena yang mengagumkan sebanyak 40 GMPH (pergerakan kasar sejam)," katanya.

 

-- BERNAMA