TEMBAKAN SERENTAK, TARIAN PERANG SERIKAN PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN DI SARAWAK

03/08/2023 04:29 PM

KUCHING, 3 Ogos (Bernama) -- Tembakan serentak ke udara yang dilepaskan oleh 20 anggota Platun Tiger daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) menggamatkan suasana Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Sarawak yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.

Gimik pelepasan tembakan pistol secara berkumpulan itu menjadi sebahagian dari persembahan laungan semangat dan tarian perang menarik daripada pasukan elit PGA itu yang merupakan antara empat pasukan badan beruniform yang mengambil bahagian dalam majlis yang dihadiri lebih 400 orang jemputan itu.

Persembahan daripada 24 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, 28 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan 23 dari Angkatan Pertahanan Malaysia dalam acara laungan semangat itu tidak kurang hebatnya dalam menghangatkan majlis yang dirasmikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Suasana menjadi semakin meriah apabila lagu bahasa Iban, “Bekikis Bulu Betis” yang dipopularkan oleh Andrewson Ngalai dan dianggap seperti lagu wajib setiap kali majlis keramaian di Sarawak, berkumandang ketika aksi rasa kilas (flashmob) oleh gabungan petugas Pentarama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Sarawak dan Politeknik Kuching. 

Bertemakan “Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”, pelancaran peringkat negeri itu merupakan kesinambungan daripada pelancaran di peringkat kebangsaan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak pada 16 Julai lepas.

Sambutan berorientasikan kepelbagaian dalam perpaduan anjuran JAPEN dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) itu bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme tinggi dalam kalangan masyarakat.

Dalam majlis itu, Abang Johari turut menyempurnakan acara pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 disertai 34 kenderaan yang bermula dari IPK Sarawak seterusnya ke bahagian-bahagian utama di negeri ini, termasuk merentasi sempadan hingga ke Sipitang, Sabah.

“Saya berharap pada setiap persinggahan konvoi KMJG ini, setiap kalangan masyarakat di negeri ini memberikan sambutan dan sokongan padu kepada konvoi KMJG yang membawa mesej patriotisme dan semangat kebangsaan kepada negara Malaysia,” kata beliau ketika berucap di majlis itu. 

Konvoi KMJG 2023 hari ini melibatkan laluan Jalan Diplomatik menuju ke IPK Sarawak sebelum meneruskan perjalanan ke Balai Bomba Tabuan Jaya, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak seterusnya mengelilingi bandar raya Kuching.

Semasa persinggahan mereka di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, satu Program Semarak Gemilang turut diadakan sebagai sebahagian dari aktiviti sambutan Bulan Kebangsaan peringkat Sarawak.

Konvoi ini akan diteruskan pada 8 Ogos bermula di ibu pejabat JAPEN Sarawak menelusuri beberapa lokasi utama sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo sehingga ke Bandar Sipitang, Sabah, sebelum kembali ke sini pada 15 Ogos.

-- BERNAMA