KERAJAAN PERPADUAN BERPRINSIP, BUKAN SEKADAR GABUNGAN PARTI POLITIK - ABANG JOHARI

04/08/2023 08:36 PM

KUCHING, 3 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Perpaduan ditubuhkan bukan sekadar sebagai sebuah gabungan parti politik tetapi sebagai kerajaan yang berteraskan prinsip Malaysia MADANI yang mengutamakan elemen keterangkuman dan kebersamaan untuk kemakmuran negara.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerjasama erat yang terjalin antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah atas tekad dan perpaduan untuk memenuhi harapan kemakmuran dan kesejahteraan bersama.

"Negara Malaysia berkehendakkan satu kerajaan yang kuat berkisarkan kepada kestabilan politik untuk memastikan pembangunan negara yang lebih hebat,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Sarawak di sini, hari ini.

Katanya hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan telah membolehkan Sarawak menerima peruntukan berjumlah RM5.6 bilion tahun ini bagi tujuan pembangunan.

“Kita juga akan menggandakan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa dan saya yakin hasil kesepakatan dan tekad bersama antara (kerajaan) negeri dan pusat, kita akan menerima lebih banyak lagi peruntukan,” katanya.

Menyentuh majlis pelancaran berkenaan, Abang Johari berkata sambutan tahun ini menampilkan kelainan menerusi elemen patriotik yang disemarakkan bersama badan beruniform, berorientasikan kepelbagaian dalam perpaduan yang juga bersandarkan kepada aspirasi Malaysia MADANI.

Beliau yakin setiap pengisian program yang dianjurkan Jabatan Penerangan (JAPEN) bersama agensi-agensi lain serta Bintulu Port Holdings Berhad sepanjang bulan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, akan meningkatkan lagi semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Kita di negeri ini merupakan satu contoh kepelbagaian dalam perpaduan, tambahan pula kita sering berpaksikan konsep kebersamaan ‘Segulai Sejalai’ di sini. Perdana Menteri juga telah mengambil konsep ini untuk diselaraskan (dan) dipopularkan di seluruh Malaysia,” tambahnya.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Persekutuan Sarawak Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohd Abu Bakar Marzuki dan pengarah JAPEN Sarawak Jaafar Jantan.

-- BERNAMA