400 PESERTA GIGIH BERLATIH PADA RAPTAI PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN SARAWAK

02/08/2023 07:01 PM

KUCHING, 2 Ogos (Bernama) -- Kira-kira 400 peserta yang terlibat dalam majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Sarawak gigih berlatih semasa raptai akhir hari ini bagi memastikan persembahan yang menarik esok.

Raptai yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak Jaafar Jantan itu menyaksikan persembahan “War Cry” oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia, selain “Fire Cry” oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pasukan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, JAPEN dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara turut sama menggilap persembahan mereka sebagai persiapan akhir untuk majlis yang akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini.

Majlis pelancaran anjuran JAPEN dengan kerjasama PDRM dan Bintulu Port Holdings Berhad itu akan turut diisi dengan bacaan ikrar Rukun Negara dan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang melibatkan 35 kenderaan agensi kerajaan dan swasta.

Konvoi itu akan memulakan pergerakan mereka melalui beberapa lokasi di bandar raya ini sebelum meneruskan perjalanan ke bahagian utama di Sarawak hingga Sipitang di Sabah.

Jaafar berkata majlis tahun ini akan menekankan mesej patriotisme tinggi dalam kalangan anggota badan beruniform sebagai elemen penting untuk dipupuk dalam kalangan masyarakat. 

Beliau yang ditemu bual Bernama sebelum ini berkata nilai-nilai baik seperti kepatuhan pada undang-undang serta kecintaan kepada negara yang sinonim dengan badan beruniform seperti polis, tentera dan bomba wajar dijadikan teladan.

“Semangat ini yang kita nak sebarkan kepada seluruh rakyat Sarawak, jika pasukan beruniform ada semangat ini kita mahu rakyat Sarawak juga mempunyai semangat sama,” tambahnya.

-- BERNAMA