HYDE PARK LONDON JADI INSPIRASI ABANG JOHARI WUJUDKAN TAMAN RIZAB BUKIT SIOL

01/08/2023 04:03 PM

KUCHING, 1 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Sarawak akan mencontohi Hyde Park di London dalam usaha memulihara kawasan alam semula jadi seluas 108 hektar di Bukit Siol di Petra Jaya di sini yang akan diwartakan sebagai taman rizab semula jadi.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kawasan berkenaan akan ditanam dengan spesis pokok tempatan seperti belian dan nyatoh selain pelbagai jenis tanaman berbunga bagi memastikan kehijauan di tengah bandar raya itu terus terpelihara dan menjadi kawasan rekreasi. 

"Kita  telah mengenal pasti seluruh kawasan di bawah Dewan Bandaraya Kuching Utara antara kawasan Pustaka, Boulevard  di bawah Bukit Siol ini yang akan digazetkan sebagai rizab semula jadi," katanya selepas menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Hari Bandar Raya Kuching Ke-35 di sini hari ini.

Abang Johari berkata proses pewartaan kawasan itu sedang dilaksanakan dan Perbadanan Perhutanan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak akan mengawal selia aktiviti yang dijalankan di situ.

"Akan ada pakar landskap yang akan membuat reka bentuk di kawasan tersebut. Pembangunan di sekitarnya akan diselia oleh pihak berkuasa perancangan negeri supaya tidak banyak bangunan tinggi dan ketinggian bangunan akan dihadkan," katanya.

-- BERNAMA