DANA TAMBAHAN RM1 BILION BERI PELUANG USAHAWAN TEMPATAN TEROKAI PASARAN LEBIH LUAS

29/07/2023 09:12 PM

KUCHING, 29 Julai (Bernama) -- Inisiatif pelaburan dana tambahan RM1 bilion bagi menyokong syarikat pemula tempatan dan mendorong usahawan teknologi seperti yang diumum kerajaan Khamis lepas adalah bertepatan dengan perkembangan terkini membabitkan bidang perniagaan serta keusahawanan. 

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dr Ripin Lamat berkata pelaburan dana tambahan itu akan memberi peluang khususnya kepada usahawan tempatan berlatarbelakangkan latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) untuk meneroka peluang perniagaan dan pasaran yang lebih luas. 

“Ini satu perancangan yang bagus oleh Kerajaan Persekutuan bagi membantu usahawan kita terutama mereka yang terlibat dengan TVET dan mengadaptasikan teknologi dalam mengembangkan perniagaan mereka. 

“Teknologi digital adalah pemacu perniagaan masa kini dan masa akan datang kerana ia adalah antara elemen utama untuk mengembangkan sektor perniagaan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian Bizfrancais@Sarawak 2023 di sini hari ini.  

Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pada majlis peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasakan Rakyat berkata kerajaan bersama-sama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bersetuju untuk melabur dana tambahan itu secara padanan dengan dana swasta.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata langkah itu antara lain bertujuan menyediakan dana bagi setiap fasa syarikat berpertumbuhan tinggi.

Usaha itu merupakan antara perancangan kerajaan pada masa hadapan susulan pencapaian negara menduduki tangga ke-20 dunia berdasarkan Laporan Ekosistem Syarikat Pemula Global 2023 dengan nilai ekosistem syarikat pemula Malaysia mencecah US$46 bilion bagi tempoh separuh pertama 2020 hingga 2022.

-- BERNAMA