EKONOMI MADANI: SUNTIKAN RM10 JUTA PERCEPATKAN PROGRAM PEMUTIHAN TASKA BELUM BERDAFTAR - FATIMAH

Datuk Seri Fatimah Abdullah
27/07/2023 10:19 PM

KUCHING, 27 Julai (Bernama) -- Peruntukan RM10 juta di bawah pelan Ekonomi MADANI untuk program pemutihan taska dan pusat jagaan kanak-kanak belum berdaftar dapat mempercepatkan proses itu jika ia digunakan untuk menampung kos lawatan di lapangan. 

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata walaupun perincian peruntukan itu belum diperolehinya, beliau berharap peruntukan itu dapat digunakan untuk menambah jumlah petugas di lapangan.

“Proses menjalankan pemutihan (taska dan pusat jagaan kanak-kanak) ini mengambil masa serta melibatkan banyak lawatan lapangan dan petugas lapangan,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan inisiatif ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’, hari ini berkata antara lain kerajaan akan memudah cara proses pendaftaran dan memperluas program pemutihan taska dan pusat penjagaan kanak-kanak belum berdaftar seluruh negara dengan peruntukan RM10 juta.

Fatimah berkata kerajaan Sarawak sendiri sudah menyediakan geran tahunan khas sebanyak RM5,000 untuk membantu taska dan pusat penjagaan kanak-kanak berdaftar beroperasi.

“Syarat yang kita tetapkan ialah mereka mesti berdaftar bagi menikmati geran itu. Kalau tidak berdaftar kita tidak dapat memberi geran yang akan memudahkan dan meringankan beban kewangan mereka,” katanya.

Selain itu, kementeriannya turut menubuhkan pusat sehenti untuk memudahkan pengusaha yang ingin mendaftar mendapat maklumat lengkap bagi membolehkan permohonan mereka diluluskan.

“Kita juga tekankan dari segi tapisan pengasuh, pendidik dan juga pengawal keselamatan yang berkhidmat (dalam meneliti permohonan) taska dan pusat jagaan kanak-kanak (belum berdaftar) ini,” tambahnya.

-- BERNAMA