SWINBURNE TAWAR KURSUS BAHARU - ABANG JO 

Pix credit: Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS FB
26/07/2023 06:59 PM

KUCHING, 26 Julai (Bernama) -- Swinburne University of Technology akan memperkenalkan kursus dan laluan baharu dalam bidang undang-undang, keselamatan siber, sains data, reka bentuk industri dan kejuruteraan perisian di kampus Sarawak.

Premier Sarawak yang juga Pro Canselor Swinburne Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata di bawah pengajian undang-undang, universiti itu akan membenarkan pelajarnya menjalani program selama satu setengah tahun di kampus di sini sebelum melengkapkan baki tempoh di kampus utama di Melbourne, Australia.

“Undang-undang Sarawak termasuk undang-undang tanah, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan undang-undang Tanah Adat Negeri (NCR) antara subjek yang ditawarkan di bawah program ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Premier Sarawak hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Majlis Swinburne Sarawak ke-36 di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini.

Ditubuhkan 23 tahun lepas Swinburne kampus Sarawak mempunyai 4,000 pelajar termasuk 1,057 pelajar yang baharu mendaftar tahun lepas. 

-- BERNAMA