KAPAL TERBALIK: EMPAT MAYAT DITEMUKAN

Malaysia Coast Guard fb
22/07/2023 09:28 PM

KUCHING, 22 Julai (Bernama) -- Empat mayat dipercayai antara lapan kru kapal MV Tung Sung, yang terbalik di perairan Pulau Burung di Sebuyau, di sini Rabu lepas, ditemukan hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata identiti mangsa bagaimanapun masih belum dikenal pasti.

Beliau berkata pada 1.15 tengah hari tadi, pihaknya menerima laporan daripada nelayan yang mengesan tiga mayat terapung pada jarak kira-kira 15 batu nautika timur laut dari Pulau Burung.

Berdasarkan maklumat itu, katanya pihak Maritim telah menggerakkan Kapal Maritim (KM) Kota Kinabalu ke lokasi dan telah melaksanakan pengambilan ketiga-tiga mayat tersebut.

“..manakala, sekitar jam 5.20 petang tadi, KM Kota Kinabalu sedang meneruskan rondaan telah menemui satu lagi mayat di dalam sektor pencarian,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua mayat ditemukan tidak memakai jaket keselamatan dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak.

Kelapan-lapan kru yang hilang berumur dalam lingkungan 20 hingga 52 tahun dengan tiga daripadanya warga tempatan dari Sibu yang dikenali sebagai Chieng Siew Ngiek, Wong Hua Wu dan Stimba Anak Chuit.

Empat lagi mangsa merupakan warga Myanmar iaitu That Min July, Ye Lin Htet, Hla Win Tun, Tun Lin Oo dan seorang warga Indonesia, Lido Ali Purwanto. 

-- BERNAMA