SEORANG LAGI MANGSA PERAHU KARAM SUNGAI BARAM DITEMUKAN LEMAS, SEORANG MASIH HILANG

Credit: Sarawak Fire and Rescue Department (JBPM)
23/07/2026 08:33 PM

MIRI, 23 Julai (Bernama) -- Seorang lagi mangsa tragedi perahu karam di Sungai Baram berhampiran Long Selatong, Marudi ditemukan lemas hari ini, menjadikan jumlah korban meningkat kepada tiga orang, manakala seorang lagi mangsa masih hilang.

Menerusi kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mayat Jonathan Nyurang Lusut, 45, ditemukan orang awam kira-kira 9.50 pagi di kawasan Jiram Masen, berhampiran Long Seperek.

“Mayat mangsa diperiksa pegawai perubatan Klinik Kesihatan Long San sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian,” menurut kenyataan itu.

Operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari ketiga diteruskan bagi mengesan mangsa terakhir, Ceria Dullah, 43.

Pencarian meliputi radius kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian, namun mangsa masih belum ditemukan sehingga operasi ditangguhkan pada 5 petang dan akan disambung semula esok.

Sebelum ini, mangsa pertama, Jovian Jangin Joshua, 4, ditemukan lemas kira-kira 100 meter dari lokasi perahu karam pada 21 Julai, manakala bapanya, Joshua Uken Mathew, 38, ditemukan penduduk kampung di Long Na'ah, kira-kira 34 kilometer dari lokasi kejadian pada 9 pagi semalam.

Dalam kejadian Isnin lepas, Jovian bersama ibu bapanya, Ceria dan Joshua serta Jonathan dipercayai menaiki sebuah perahu menuju ke Klinik Kesihatan Long San sebelum dilaporkan hilang.

Perahu dinaiki mereka kemudian ditemukan karam di Sungai Baram pada keesokan harinya.

-- BERNAMA